panduan menyediakan bajet

Anda orang baru? Belum pernah membuat bajet? Ok, entri ini sememangnya untuk anda. Entri ini adalah berkaitan dengan panduan membuat bajet bagi mereka-mereka yang belum pernah melakukannya. Tahun 2016 semakin menghampiri, manakala 2015 bakal meninggalkan kita. Tahun baru, azam baru, semangat baru untuk lebih bijak menguruskan perbelanjaan dan menguruskan kewangan sendiri. Kalau sebelum-sebelum ini tak pernah buat bajet, tak pernah merekodkan perbelanjaan, masih belum terlambat untuk anda mulakan pada tahun 2016 ini.

Memang bila kita mula membuat belanjawan, merekodkan segala perbelanjaan, kita akan rasa risau. Risau memikirkan bahawa kita mungkin terpaksa mengorbankan banyak perkara yang menjadi kebiasaan dan kesukaan kita bagi memastikan pengurusan wang kita lebih terurus. Saya juga seperti anda, tidak ada bajet yang terperinci dalam perbelanjaan. Hanya mula sedar kepentingannya disebabkan duit simpanan yang semakin menyusut dari hari ke hari. Bagi saya, situasi ini lebih menakutkan. Bukit yang tinggi, kalau asyik ditarah, lama-lama ia akan rata juga.

Untuk mengelakkan saya berada dalam masalah kewangan yang lebih serius, sebelum terjebak, ada baiknya saya dan anda mengambil langkah yang perlu untuk memastikan pengurusan kewangan kita berada di tahap maksimum.

Saya menggunakan template yang anda boleh download di sini untuk menguruskan bajet saya. Ya, anda juga boleh mencuba. Tak susah pun untuk dilakukan. Dengan menyediakan bajet sebegini, kita tahu kemana wang kita mengalir. Untuk tujuan apa, dan berapa jumlahnya. Kedudukan kewangan kita tampak lebih jelas.

Download TEMPLATE BUDGET BULANAN PDF

Bagaimana nak mula membuat bajet? 

1. Kenalpasti jumlah pendapatan anda

Dalam worksheet di atas, saya menyediakan ruangan untuk anda masukkan jumlah pendapatan anda. Mungkin anda mempunyai beberapa sumber pendapatan. Contohnya gaji, sewa rumah atau kedai, atau anda berniaga. Senaraikan kesemuanya. Bagi pasangan suami isteri, memang paling baik jika anda dapat duduk dan berbincang bersama.

2. Senaraikan semua perbelanjaan tetap

Perbelanjaan ini tetap, jumlahnya tidak berubah dan sama sahaja setiap bulan. Anda perlu membayarnya untuk beberapa tempoh. Sebagai contoh, pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman pelajaran, pinjaman peribadi dan sebagainya.

3. Senaraikan perbelanjaan boleh ubah (variable expenses)

Jumlah perbelanjaan ini berubah-ubah antara 1 bulan dengan bulan yang lain. Contohnya petrol kereta. Mungkin pada bulan Januari anda membelanjakan RM250 untuk petrol, tetapi pada bulan berikutnya jumlah itu sedikit berkurang menjadi RM220. Perbelanjaan ini bergantung kepada situasi dan keperluan semasa. Pastikan ada bahagian untuk simpanan ye.

4. Jumlahkan kesemuanya

Saya menggunakan Microsoft Excel kerana ia memudahkan pengiraan saya. Jumlah keseluruhan perbelanjaan, dan baki dikira secara automatik. Pastikan jumlah perbelanjaan anda seimbang, bermakna perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Sebaiknya, baki pendapatan selepas ditolak perbelanjaan tetap mestilah lebih besar nilainya dari jumlah perbelanjaan boleh ubah ((Pendapatan – perbelanjaan tetap = baki pendapatan) > perbelanjaan boleh ubah). Jika bajet anda tidak seimbang, sila teliti semula bajet tersebut. Buat semula sehingga seimbang. Mungkin pada awalnya, anda meletakkan bajet untuk makan di luar RM100 sebulan, tetapi sebab tidak seimbang, anda terpaksa kurangkan peruntukan tersebut. Jadi, anda boleh mengenalpasti bahagian mana yang anda boleh adjust untuk perancangan kewangan yang lebih baik.

5. Membuat penilaian semula

Melalui bajet yang anda sediakan, sebenarnya anda boleh tahu sama ada anda mengalami krisis kewangan atau sebaliknya. Anda perlu meletakkan matlamat untuk pengurusan kewangan anda. Sebagai contoh, letakkan 2 atau 3 target seperti menambahkan simpanan, mengurangkan jumlah hutang bagi pinjaman pendidikan, meningkatkan pendapatan dan sebagainya. Fikirkan strategi yang anda akan lakukan untuk mengawal perbelanjaan.

Pastikan anda berdisiplin, komited dan mengikut apa yang telah ditetapkan dalam bajet. Pengurusan kewangan yang baik ialah jika kita berdisiplin, dan berbelanja mengikut keperluan , bukan kehendak. Semoga tahun 2016 yang bakal mendatang akan memberi kejayaan kepada anda dalam menguruskan kewangan.

Good luck!:-)

Share this:
0
Panduan untuk Membuat Bajet

One thought on “Panduan untuk Membuat Bajet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Blog ini bermanfaat? Kongsikan!