15 pembaziran yang sering kita lakukan

Oleh sebab kos sara hidup yang amat tinggi pada masa kini, maka anda memilih untuk berjimat-cermat dalam semua perkara. Tetapi,mungkin ada di antara kita yang tidak sedar tentang pembaziran yang dilakukan, yang mana walaupun ia nampak kecil dan remeh, namun dapat menyelamatkan wang kita dari hangus. Saya ingin kongsikan beberapa perkara dengan anda, dan diharap ianya dapat menjadi panduan.

  1. Merokok/ rokok: Ini memang pembaziran paling besar yang anda lakukan. Harga sekotak rokok tak murah. Katalah anggaran harga RM9 untuk sekotak, dan sehari anda habiskan 1 kotak. Sebulan anda dah membazirkan wang sebanyak RM270.00. Setahun? RM3240!!!! Kalau lah anda tidak merokok, anda boleh simpan wang sebanyak itu setiap tahun. Selepas 10 tahun? Simpanan anda akan menjadi RM32,400.  Apa kata, untuk tahun 2016 nanti, sematkan azam baru untuk berhenti merokok. Nak seribu daya kan?
  2. Membuang makanan yang tidak habis dimakan: Saya percaya, ramai yang melakukan perkara ini. Ada sesetengah orang, memang tidak menggemari makanan yang dipanaskan semula. Jadi, makanan yang tidak habis akan dibuang. Membuang makanan yang masih elok dan boleh dimakan, memang suatu pembaziran!
  3. Caj bank: Nampak kecil, tapi sebenarnya ia tetap mempunyai impak. Caj bank RM1 untuk keluarkan duit di ATM bank lain, merugikan. Kalau dalam sebulan 3 kali anda keluarkan duit, dah RM3 anda bayar.
  4. Membeli makanan atau kerperluan lain di stesen minyak atau kedai 24 jam: Kadang-kadang anda dah terbiasa kan? Saya pasti, anda juga perasan harga barang dikedua-dua tempat ini lebih mahal jika dibandingkan dengan kedai-kedai lain di luar, atau jika anda membeli secara pukal.
  5. Membeli makanan yang boleh dibuat sendiri: Anda perlu mengenalpasti kos makanan yang dibeli dan dibuat sendiri. Mana yang lebih menguntungkan? Ada sesetengah makanan memang lebih murah dibuat sendiri, manakala ada juga yang lebih untung jika anda beli. Jadi, sila buat pilihan bijak. Pertimbangkan juga khasiat dalam makanan tersebut.
  6. Kerap makan di luar: Tak dinafikan, bila makan di luar, kos akan jadi berganda. Contohnya, untuk keluarga 4 orang (2 dewasa, 2 kanak-kanak), kos makan tengahari boleh mencecah RM30 untuk sekali makan. Bergantung kepada lauk yang dipilih. Ya, anda boleh makan di luar, tapi perlu ada had dan kemampuan kewangan. Makan dan masak sendiri di rumah lebih sedap, bersih dan menyihatkan.
  7. Langgan TV berbayar: Majoriti rakyat Malaysia melanggan tv berbayar. Sebenarnya, kos bulanan untuk tv berbayar agak tinggi. Kalau sebulan anda bayar RM100, setahun anda dah jimat RM1200. Pilihan di tangan anda. Tanya diri anda sendiri, adakah itu keperluan atau kehendak. Rasanya, siaran tv percuma pun kadang-kadang tak sempat anda nak tengok.
  8. Suka bertukar kereta: Ini pun lagi satu penyakit masyarakat kita. Istilah ‘biar papa, asal bergaya’ memang sinonim. Kalau baru je beli kereta tak sampai 5 tahun, tiba-tiba nak trade-in kereta tersebut, dan tukar kereta yang lain pulak, memang amat-amat mebazir. Silap-silap harga yang anda dapat dari trade-in kereta tu masih tak cukup untuk bayar baki hutang. Dah kena tambah duit untuk selesaikan hutang lama. Memang tak berbaloi. Ingat, sebaik saja kereta baru keluar dari showroom, harganya akan terus merudum.
  9. Bayar interest: Yang ini lebih kepada penggunaan atau hutang kad kredit. JANGAN sesekali anda berhutang dengan menggunakan kad kredit kerana caj faedahnya amat tinggi. Kalau nak beli sesuatu yang agak mahal, simpan duit dulu. Dah cukup baru beli. Jangan guna kad kredit jika anda bukan orang yang berdisiplin dalam berbelanja.
  10. Pentingkan barang berjenama: Barang berjenama memang mahal. Bukan anda tak boleh beli, tapi kena tengok pada keperluan. Ada sesetengah barang tak perlu berjenama pun. Kata orang, ‘cap ayam’ pun ok. Saya banyak membeli barang-barang takde jenama. Tapi ada yang tahan bertahun-tahun dan masih elok sampai sekarang, walau harganya jauh lebih murah dari barang berjenama. Bila anda membeli barang berjenama, anda sebenarnya membayar harga jenama tersebut. Anda patut bijak membuat pilihan untuk menentukan barang apa yang patut ada jenama dan sebaliknya.
  11. Majlis keramaian yang keterlaluan: Contoh macam kenduri kahwin. Saya tak boleh bayangkan, macam mana dalam 1 hari anda habiskan RM10,000. Tambahan pulak kalau sampai membuat pinjaman bank semata-mata untuk mengadakan kenduri. Sepatutnya wang lebih diperlukan selepas anda berkahwin. Berkahwin biar sederhana. Tak perlu pun sewa pelamin, sistem audio, DJ, jurugambar, tukang mekap. Semua tu anda boleh lakukan sendiri bersama saudara-mara anda. Buang sentimen ‘kahwin hanya sekali, jadi mesti meriah’.
  12. Gemar membeli barang-barang baru: Kalau barang sedia ada masih elok untuk diguna pakai, kenapa perlu bazirkan wang untuk membeli yang baru. Contoh, beg tangan. Kadang-kadang tu setahun sampai 4-5 kali beli beg tangan. Sayangnya…
  13. Membeli permata dan emas putih: Lebih baik anda beli emas kuning, sebab ianya ada nilai yang tinggi. Tak dinafikan, emas putih dan permata memang serasi sangat bersama, cantik!. Malangnya, tidak ada nilai jika anda nak jual semula.
  14. Membuang duit syiling: Ada di kalangan kita yang tak suka duit syiling dengan alasan berat. Jadi, syiling tu di buang atau diletak merata-rata. Sepatutnya, anda perlu sediakan tabung khas untuk syiling. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit kan?
  15. Membayar servis yang anda boleh lakukan sendiri: Ramai sebenarnya yang suka mengupah orang lain untuk melakukan servis yang mudah. Contoh? Cuci kereta, kemas rumah & seterika baju. Anda boleh jimat beratus ringgit jika anda lakukan semua kerja-kerja dan baik pulih sendiri.

Saya percaya, dengan melakukan sebahagian/semua perkara di atas, anda boleh menjimatkan lebih banyak wang untuk disimpan atau membayar hutang. Sebenarnya ada banyak lagi perkara-perkara yang menyebabkan pembaziran  yang anda lakukan. Jadi, anda pilih untuk berubah atau kekal dengan sikap sedia ada.

Mungkin anda boleh kongsikan apakah perkara-perkara yang sering anda buat, tanpa menyedari ianya merupakan satu pembaziran?

Share this:
0
15 Pembaziran yang Sering Dilakukan Tanpa Disedari
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Blog ini bermanfaat? Kongsikan!